Sunday, December 5, 2010

MAJLIS PENUTUP KURSUS ASAS PENGURUS KEDIAMAN

Majlis Penutup dan penyampaian sijil Program Azam Kerja- Kursus Asas Pengurus Kediaman (KAPK) anjuran Jabatan Pembangunan Wanita bagi Negeri Pahang berlangsung di Dewan Putera Lela, Hotel Shahzan Kuantan Pahang pada 5 Oktober 2010 bermula pukul 2.30 petang.

Perasmian penutup disempurnakan oleh Cik Fariza Aida binti Mansor , Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang. Turut Hadir Puan Rosnah Ahmad, Pengurus Pusat Latihan Tinta Ori, Puan Puan Katherine Kwong AMP PPN, Pengerusi, MCA Wanita Bahagian Indera Mahkota, Puan Saressa Muniandy, Pengerusi Badan Kebajikan India Kuantan, Puan Norrimas Nordin Pengusaha Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Al-Azid, jurulatih KAPK Puan Siti Aishah Mahamad dan Puan Saadiah Abu Bakar.

Puan Rosnah Ahmad selaku pengurus Pusat Latihan Tinta Ori dan penyelaras program memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan segala kemudahan dan pertolonganNya program ini dapat dijalankan dengan lancar.

Seramai 31 orang peserta berjaya menamatkan KAPK yang julung kalinya diadakan di Negeri Pahang Darul Makmur.

Program Azam Kerja-Kursus Asas Pengurus Kediaman anjuran Jabatan Pembangunan Wanita ini dikendalikan oleh Pusat Latihan Tinta Ori Kuantan sebagai perunding program.
Ia berlangsung selama 14 hari mulai 20 September sehingga 5 Oktober 2010.

Kursus kali ini memberi peluang kepada ibu tunggal , wanita daripada keluarga berpendapatan rendah dan wanita yang berminat di Negeri Pahang. Peserta-peserta terdiri daripada ahli-ahli Badan Kebajikan India Kuantan, Wanita MCA Kuantan dan Persatuan Ibu Tunggal Pahang dan orang perseorangan.

Program Latihan Perkhidmatan Pengurus Kediaman (Home Managers) diadakan khas bagi membantu wanita – wanita bekerja mendapatkan khidmat Pengurus Kediaman (PK) tempatan yang lebih memahami keperluan serta budaya masyarakat Malaysia.

Konsep Pengurus Kediaman bertujuan membantu isi rumah menguruskan segala hal ehwal berkaitan kediaman mereka serta mewujudkan persekitaran yang selesa dan sempurna. Pengurus Kediaman perlu mempunyai minat yang mendalam dan prihatin terhadap semua keperluan isi rumah.

Pengurus Kediaman boleh membantu:

• Keluarga yang bekerja
• Kanak-kanak, orang kurang upaya, orang tua
• Peningkatan produktiviti
• Nilai kehidupan yang lebih sempurna
• Pengasuhan dan penjagaan yang sistematik dan profesional

Prospek pekerjaan PK termasuk bekerja di kediaman, taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak, pusat jagaan oku, pusat jagaan warga emas dan pusat aktiviti seperti Hotel, kompleks membeli belah dan spa.

Para peserta didedahkan dengan banyak kemahiran melalui modul latihan yang dikendalikan secara kuliah, bengkel, perbincangan dan praktikum.

Modul latihan KAPK :

1.Pengenalan kepada perkhidmatan Pengurus Kediaman

2.Perkembangan manusia (lahir hingga berusia)

-bayi, kanak-kanak, kanak-kanak pra sekolah,
kanak-kanak sekolah rendah, remaja, awal dewasa,
dewasa dan warga emas

3.Memahami keluarga dan keperluan

Budaya dan komunikasi
Penjagaan asas bayi
Penjagaan warga emas
Penjagaan orang kurang upaya

4.Pengurusan kediaman

Merancang tugas dan rekod
Penjagaan dalam dan luar kediaman
Penyelengaraan kediaman
Penggunaan peralatan moden

5.Makanan dan kesihatan

- Makanan seimbang
- Penyediaan makanan
- Kebersihan makanan

6.Penjagaan kesihatan dan pencegahan kemalangan

7.Garispanduan untuk perkhidmatan pengurus kediaman

8.Latihan amali di

- Pusat Jagaan Kanak-kanak
- Pusat Latihan Warga Emas
- Pusat Jagaan/Latihan OKU

Cik Fariza Aida Mansor dalam ucapan perasmian penutup mengucapkan syabas kepada ke semua peserta. Beliau berharap Program Latihan Perkhidmatan Pengurus Kediaman di Negeri Pahang dapat menjana pendapatan dan pada masa yang sama memenuhi permintaan masyarakat Malaysia untuk mendapatkan khidmat pengurus kediaman yang lebih profesional.

Selain daripada itu, beliau yakin program ini dapat memperkasakan keyakinan kendiri para peserta dan menjanjikan prospek kerjaya yang cerah.

Beliau juga merakamkan tahniah kepada para peserta yang berjaya merancang dan mengendalikan majlis penutup ini dengan jayanya.

Selain daripada itu beliau juga menggalakkan peserta menyertai kursus, bengkel dan seminar yang di anjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dari masa ke semasa bagi meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran untuk kesejahteraan diri dan keluarga serta menyumbang kepada produktiviti dan kesejahteraan negara.

Majlis penutup diserikan lagi dengan persembahan peserta dan diakhiri dengan jamuan minum petang.

No comments:

Post a Comment